Sudah diduga Pak Lah akan menaikkan harga petrol namun tidak sama sekali hingga mencapai 78 sen seliter. Tinjauan yang dibuat di sekitar kota Kuala Terengganu mendapati kenderaan mula bersesak mengisi petrol bermula jam 6 petang setelah sebaran sms berkaitan perkara ini mula berjalan.
Sehingga minit-minit terakhir sebelum jam 12 tengah malam, deretan kenderaan masih menunggu giliran untuk mendapatkan petrol pada harga RM1.92. Di kebanyakkan tempat berlaku kekecohan antara pengguna dengan pemilik stesen minyak apabila masa melangkaui jam 12 tengah malam dan harga baru RM2.70 mula digunakan. Ramai yang tidak berpuas hati dengan situasi ini memandangkan telah lama menunggu hingga berlaku ketegangan.
Wartawan DPPKT menerima begitu banyak aduan dan rungutan rakyat berkaitan kenaikan harga minyak yang melampau ini. Muhammad Izuddin dari Kampung Nibong menyifatkan tindakan ini menaikkan lagi kemarahan rakyat kepada kerajaan dan menambah bebanan yang telah sedia ada. Alasan kenaikkan harga global tidak dapat diterima kerana Malaysia merupakan pengeluar minyak dan sepatutnya mendapat keuntungan lebih kesan kenaikkan harga global.
Wan Hasniza daripada Batas Baru pula mengandaikan akan berlaku kenaikkan harga barangan bermula esok (hari ini) kesan insiden ini. Beliau juga menambah, Pak Lah patut bertanggungjawab jika selepas ini berlaku ketidakseimbangan ekonomi dan masalah sosial yang lebih teruk. Ini tidak mustahil kerana kesan kenaikkan harga minyak ini akan menambah tekanan kepada rakyat dan jenayah seperti ragut, curi dan rompak akan dibimbangi turut meningkat.
Seorang peniaga alat ganti kenderaan yang mahu dikenali sebagai Tan berkata kepimpinan nagara yang ada sekarang gagal menguruskan negara dengan baik. Sambil membandingkan antara Malaysia dengan Singapura, beliau menjelaskan bahawa Singapura berjaya membawa negara mereka ke tahap yang amat membanggakan walaupun tiada sumber asas seperti Malaysia. Minyak dan air contohnya diimport tetapi gaji rakyat mereka 2,3 kali ganda daripada rakyat Malaysia. Maka tidak adil apabila membandingkan harga minyak Singapura dengan Malaysia jika tidak membandingkan sekali gaji antara pekerja kedua-dua negara.
Tindakan Pak Lah kali ini juga menunjukkan bahawa UMNO yang menerajui kerajaan sekarang gagal membela nasib rakyat terutama melayu. Mereka hanya pandai berjanji dan menghentam pembangkang sedangkan apabila dalam soal perlaksanaan mereka sendiri gagal.
Inilah hadiah yang paling berharga buat rakyat selepas Pilihanraya lalu. Namun 5 tahun akan datang ramaikah antara kita akan mengingati peristiwa ini? Atau kembali dibuai janji manis dan terus melakukan kesilapan.
Filed under: Nasional, Politik, Isu Semasa | Tagged: Harga Minyak, pak lah | 1 Comment »