ZIARAH MANGSA TEMBAKAN

Tanggal 26 September 2007, jam 9 pagi kami berkumpul di depan Pusat Bekam Tabib Syed Alwi, Ketua Pemuda Dun Bandar. Lebih kurang jam 9.30 pagi kami bertolak dengan 4 buah kereta menuju ke rumah Suwandi, mangsa tembakan polis dalam peristiwa berdarah Batu Burok 8 September lalu.

Hampir jam 10 pagi, kami tiba di kediaman beliau. kawan-kawan agak segan untuk memulakan bicara, walaupun hati meronta-ronta untuk bertanyakan itu dan ini berkenaan kejadian tempoh hari. Suwandi nampak kurang bermaya kerana belum pulih sepenuhnya lagi. Katanya, tangan kanannya tidak berapa kuat untuk digunakan kerana masih terasa kesan pembedahan di Hosital USM Kubang Kerian 2 minggu lalu. Katanya lagi, doktor nasihatkan agar buat latihan ringan untuk gerakkan otot-otot anggota badan seperti berjalan 1 km. Beliau sempat berseloroh, katanya datang waktu siang ni tak dapatlah nak minum. Sebahagian dari kami telah mengenali beliau.

Kami bertuah kerana mendengar cerita ‘first hand’ daripada beliau kisah pada hari kejadian. Memang tepat sebagaimana yang diceritakan oleh salah seorang saksi kejadian bahawa polis berpakaian preman terlibat menembak suwandi dalam keadaan berdiri, bukannya duduk sebagaimana laporan sesetengah pihak. Ketika itu, polis terbabit sedang berlari menuju ke kumpulan FRU yang sedang berkawal di situ. Ini mengukuhkan lagi hujjah bahawa memang sahih bahawa polis tersebut menembak bukannya untuk mempertahankan diri tetapi barangkali berniat mencederakan atau membunuh  mangsa. Alhamdulillah, Suwandi amat bernasib baik kerana ALLAH takdirkan beliau hidup untuk menceritakan kejadian sebenar kepada umum. Beliau dimaklumkan oleh doktor bahawa peluru yang memasuki dadanya berada hampir dengan jantung. Kalau ia terkena ke bawah sedikit lagi, sudah pasti ia akan menembusi jantung dan kebarangkalian nyawa melayang pasti berlaku.

Peristiwa ini mengingatkan penulis kisah seorang tua yang penulis lupa nama beliau, tetapi yang menarik ialah beliau juga menjadi saksi Peristiwa Berdarah Memali lebih kurang 20 tahun lampau. Pakcik tua itu ditembak bertubi-tubi oleh pihak polis tetapi Allah Maha Kaya, mentaqdirkan beliau hidup untuk menceritakan segala-galanya kepada umum apa yang sebenarnya berlaku di Memali.

Lebih kurang 10 hingga 15 minit, kami meminta diri untuk balik. Sebelum balik, kami sempat bergambar dengan Suwandi. Harapan dan doa kami agar Suwandi cepat sembuh , dan agar peristiwa ini tidak melemahkan semangat juangnya untuk terus mempertahankan Islam atas muka bumi Terengganu ini khususnya, dan Malaysia umumnya.

Wassalam.

Advertisements