• Orang Mude Geng Kite

  • SUMBANGAN

    DPPKT mengalu-alukan sumbangan kewangan pengunjung laman ini untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti semasa DPPKT. Sumbangan yang ingin dihulurkan boleh dimasukkan ke akaun Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu, nombor akaun 13017010077298, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) cawangan Kuala Terengganu @ kirimkan wang pos ke alamat: BENDAHARI Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu Lot 129, Kampung Dusun, Kuala Ibai, 20400 Kuala Terengganu. Ingatan:Sila tulis 'Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu' sahaja pada penerima wang pos tersebut. Sumbangan yang bakal dihulurkan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih, Jazakallah....
  • Kalendar

    November 2009
    I S R K J S A
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    30  
  • GERAMMM

  • Kunjungan

    • 239,818 hits
  • RSS harakah

    • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.
  • RSS Aliran

    • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.
  • RSS KeAdilan

    • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.
  • RSS MalaysiaKini

    • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.
  • Laman

  • ALBUM

  • a

  • PENAFIAN

    Blog ini adalah milik Dewan Pemuda Pas Kuala Terengganu(DPPKT). Walaubagaimanapun, isi artikel-artikel yang terkandung dalam blog ini tidak semestinya melambangkan pendirian DPPKT. Ada yang di'copy paste'kan daripada laman-laman web atau blog-blog lain apabila ada isu-isu yang sama dibincangkan, agar blog akan sentiasa meriah dengan isu semasa. Kami menerima komen atau kritikan membina dari rakan-rakan sama ada kawan mahupun lawan.
  • ALAMAT & PERHUBUNGAN

    Pejabat Dewan Pemuda Pas Kuala Terengganu Lot 126, Markaz Tarbiyyah Pas Kuala Terengganu, Kampung Kolam Kuala Ibai, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman. No Tel : 09 6178591, faks : 09 6178592, email : dppktrg@yahoo.com web : https://dppkt.wordpress.com

Kota Siputeh: Mahkamah tangguh DUN kosong

Petikan Malaysiakini.com
// Hafiz Yatim
Nov 24, 09
7:54pm

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan penangguhan sementara perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menolak permohonan SPR untuk menangguhkan perintah tersebut.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu diumumkan kira-kira jam 7.30 malam. Esok merupakan tarikh akhir bagi SPR melaksanakan perintah mahkamah tinggi supaya mengeluarkan writ pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.

Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, SPR boleh menangguhkan pengeluaran writ tersebut untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Keputusan hari ini dibuat sebulat suara oleh panel hakim yang diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie. Dua lagi hakim ialah Datuk Kang Hwee Gee dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Aziz Abdul Rahim.

Mengikut undang-undang, apabila SPR telah mengeluarkan writ tersebut, maka ia tidak boleh dibatalkan.

Sebelum itu, peguam kanan persekutuan, Kamaluddin Md Said berhujah bahawa wujud keadaan tertentu yang membolehkan penangguhan itu dibuat.

Katanya, jika SPR sudah menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian, dan jika rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kemudiannya dibenarkan, maka pilihan raya kecil itu adalah satu pembaziran dana awam.

Kamaluddin juga menegaskan, jika pilihan raya kecil diadakan, ia mungkin menyebabkan ada dua wakil rakyat, jika rayuan SPR dibenarkan.

Manakala peguam kanan Sulaiman Abdullah, yang mewakili speaker DUN Kedah, Dr Abdul Isa Ismail pula berkata, jika mahkamah membenarkan penangguhan itu, ianya hanya menghalang perjalanan perlembagaan kerana kerusi tersebut telahpun diisytiharkan kosong.

“Apabila sesebuah kerusi diisytiharkan kosong, maka pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dan writ pilihan raya hendaklah dikeluarkan esok,” katanya.

Sulaiman berkata, juga tidak ada keperluan segera untuk memberi penangguhan kerana Mahkamah Rayuan boleh mendengar rayuan SPR sebelum tempoh 60 hari itu.

Maka katanya, tidak ada keperluan segera untuk mahkamah membenarkan penangguhan.

Tambahan lagi, katanya, mengikut undang-undang, mahkamah tidak boleh memberi sesuatu penangguhan terhadap mana-mana perintah yang dipohon.

[Baca berita penuh]

 


Advertisement

POLITIK ADALAH PERSEPSI

POLITIK ITU ADALAH PERSEPSI – Coretan YDP Edisi 37

Orang kata, ”Politics is all about perception” atau politik adalah persepsi.

Memang betul di dalam politik, persepsi rakyat itu teramat penting. Kadang-kala nasib pemimpin politik, sebuah gerakan politik atau malah sebuah kerajaan itu bergantung semata-mata kepada persepsi rakyat.

Kadang-kala tidak penting sama ada seorang pemimpin itu telah melaksanakan tanggung jawab beliau atau tidak. Yang menentukan masa depan beliau adalah persepsi rakyat.

Tidak penting sama ada sebuah parti politik betul atau salah. Yang menentukan sokongan adalah persepsi rakyat.

Tidak penting sama ada sebuah kerajaan bertanggung jawab atau tidak. Yang menentukan kemenangan pada pilihanraya adalah persepsi rakyat.

Kita mungkin tidak setuju dengan perkara ini tetapi ia adalah hakikat hidup. Itulah sebabnya parti-parti politik dunia menghabiskan wang yang banyak untuk membentuk persepsi. Ada yang menggunakan khidmat syarikat pengiklanan. Memasarkan imej parti dan pemimpin parti telah disamakan dengan memasarkan sekeping cokelat atau sebotol syampu.

Kalau kita mengimbas kembali kepada Seerah, Rasulullah SAW tidak bertindak untuk membunuh ketua kumpulan Munafik kerana bimbang masyarakat akan berkata Baginda telah membunuh seorang sahabat. Di kaca mata masyarakat, ketua Munafik itu adalah seorang sahabat. Bukankah persepsi masyarakat juga diambil kira sejak di zaman Rasulullah SAW?

PERSEPSI RAKYAT TERHADAP PAS

Pada saya, perkara yang melanda PAS sekarang adalah berpunca dari persepsi. Kenapa dengan tiba-tiba PAS dituduh sebagai berpecah-belah dan tidak stabil?

Bagi kita yang selalu turun ke Kawasan-Kawasan, sudah tentu mendapati tuduhan-tuduhan ini tidak benar.

Struktur organisasi di akar umbi masih kuat, perpaduan di kalangan ahli-ahli masih padu dan masih terdapat kumpulan-kumpulan teras ahli-ahli yang bekerja tanpa mengenal penat atau lelah.

Puncanya apabila dua orang pimpinan tertinggi berbeza pendapat. Sama ada secara sedar atau tidak sedar, ini disambut oleh pemimpin-pemimpin lain. Ada yang menyokong yang ini dan ada yang menyokong yang itu. Kemudian terjunlah orang luar ke dalam gelanggang. Kita pun terikut-ikut. Kucar-kacir. Haru-biru. Media pun memainkan peranan. Dari parti yang paling kuat dan paling stabil kepada parti paling bermasalah dalam Pakatan Rakyat.

Begitu juga dengan PAS di Selangor. Akibat dari beberapa pandangan yang berbeza yang disiarkan oleh akhbar-akhbar, seluruh organisasi PAS di Selangor dikatakan bermasalah.

Tetapi tidak mungkin dalam sekelip mata PAS Selangor atau seluruh organisasi PAS, dari Pusat, Dewan, Negeri, Kawasan hingga ke Cawangan menjadi bermasalah. Di mana-mana program masih berjalan, mesyuarat masih diadakan, ceramah masih dianjurkan dan kuliah-kuliah masih tidak terabai.

Walau bagaimanapun, kesemuanya tidak diambil kira. Masyarakat mempunyai persepsi yang berlainan. Media membentuk persepsi ini. Yang paling menyedihkan ada di antara kita yang mengiyakan propaganda-propaganda media itu. Sama ada di kedai-kedai kopi atau di serambi-serambi surau. Kita pula menjadi agen-agen yang memanjang propaganda-propaganda untuk menghancurkan PAS itu.

BEGITU RAPUH

Tetapi adakah kita begitu rapuh sehingga terlalu mudah untuk diperkotak-katikkan?

Sebenarnya bukan sahaja parti politik boleh menjadi mangsa tetapi sebuah kerajaan pun boleh tumbang akibat dari permainan media dan perancangan rapi untuk menghancurkannya.

Tidak susah untuk mengkucar-kacir sebuah organisasi. Kadang-kala tidak memerlukan teknologi yang canggih. Tidak perlu mencetak beribu-ribu helai risalah. Tidak perlu menggantung berpuluh-puluh kain rentang.

Contohnya sebuah Kawasan dan Cawangan boleh dilumpuhkan dengan hanya beberapa orang. Ini yang dinamakan perang saraf. In yang dinamakan ”psy-war”.

Jika ada seorang dua yang menjaja cerita di kedai-kedai kopi, masjid-masjid dan surau-surau, ia sudah dapat membentuk persepsi ahli-ahli dan masyarakat terhadap Kawasan atau Cawangan. Sama ada baik atau buruk.

Walaupun Kawasan tersebut mempunyai ribuan ahli atau Cawangan yang mempunyai ratusan ahli namun dengan hanya beberapa orang yang bekerja keras ”mencucuk” mampu menggagalkan perancangan atau memburukkan pimpinan.

Persepsi rakyat ini penting sehingga sebuah Badan Perhubungan PAS Negeri telah menggaji beberapa orang untuk pergi dari kedai kopi ke kedai kopi untuk menjelaskan isu-isu.

Di kedai-kedai kopi, kita dapat berjumpa dengan semua jenis manusia. Ianya lebih efektif dari ceramah yang kebanyakannya penyokong dan aktivis atau kuliah dan usrah yang kebanyakannya orang-orang PAS. Mungkin juga pimpinan perlu turun ke kedai-kedai kopi?

Bercakap tentang ”psy-war”, teringat saya tentang usaha pentadbiran Sukarno untuk mengganggu gugat kestabilan masyarakat di Malaysia ketika Konfrontasi dulu. Agen dihantar ke kawasan di mana orang Melayu sedang berkumpul seperti perhentian bas dan berkata, ”Tengok tu rumah besar, Cina yang punya”.

Kata-kata mudah seperti itu berupaya mewujudkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu supaya tidak memberi sokongan kepada usaha-usaha mempertahankan negara dari serangan Indonesia.

BODOHLAH UMNO JIKA ……

Di dalam satu kursus gerak saraf, kami diberitahu, ”Bodohlah UMNO jika tidak menghantar orang ke dalam PAS”.

Kenyataan itu benar ketika kita pembangkang dan sudah tentu benar ketika kita kerajaan. UMNO, SB atau risik tentera sudah tentu dihantar ke dalam PAS.

Pernah beberapa tahun yang lepas, saya dan beberapa orang AJK Kawasan telah pergi ke Balai Polis untuk membuat laporan Polis.

Seorang dari AJK itu terkejut apabila ternampak seorang hamba Allah yang masuk ke balai. Hamba Allah itu telah mula berjinak-jinak dengan ahli kariah masjid sahabat itu. Bertadarus bersama. Banyak bertanya soalan. Tetapi tidak ada yang tahu di mana beliau tinggal dan beliau muncul dengan tiba-tiba.

Salah seorang kami berkata, ”Mungkin dia pun hendak membuat laporan Polis”.

Tetapi kami tergamam apabila dia tidak pergi ke kaunter tetapi terus ke akuarium yang ada di ruang menunggu dan memberi makan ikan-ikan di situ. Kemudian dia terus masuk ke pejabat. Bukan sahaja anggota Polis mengenali beliau, ikan-ikan Polis pun mengenali beliau!

DIALOG PESURUHJAYA DI PANDAN

Beberapa minggu lepas Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Hasan Mohd. Ali telah membuat lawatan ke Kawasan-Kawasan. Bagi Zon Tenggara, Pandan telah menjadi tuan rumah.

Suasana ketika itu masih panas maka seperti lawatan ke zon-zon yang lain hanya ahli-ahli dibenarkan masuk dan mereka dilarang membuat sebarang rakaman. Ianya perjumpaan ”anak-beranak” dan segala perbincangan sepatutnya habis di situ sahaja.

Tetapi pada keesokan hari saya telah mendapat panggilan dari seorang AJK PAS Pusat. Beliau memberitahu bahawa beliau ditelefon oleh seorang yang mengaku sebagai ”risik tentera” melapurkan dengan terperinci dialog malam itu.

Kenapa beliau melakukannya? Saya tidak tahu. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Mungkin beliau mahu melaga-lagakan Dato’ Hasan dan pemimpin itu.

MESYUARAT PERHUBUNGAN

Pada hari Khamis lepas, Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor telah mengadakan mesyuarat bulanan.

Ianya di antara mesyuarat yang paling produktif. Kami bersetuju untuk membeli bangunan, menganjurkan konvensyen dan membincangkan program-program tarbiyyah. Ianya tidak panas walaupun persepsi rakyat PAS Selangor sedang bergolak. Di dalam ucapan pembukaan, Dato’ Hasan mahu kita memandang ke hadapan dan jangan menoleh ke belakang.

HIDUP MACAM MAIN GOLF

Seorang pensyarah saya ketika di UK pernah memberitahu bahawa hidup ini seperti permainan golf. Di satu lubang kita mungkin melebihi ”par” tetapi di lubang yang seterusnya kita mesti melupakan lubang yang sebelumnya dan berusaha mendapat ”hole in one”. Beliau berkata sedemikian selepas saya mendapat satu keputusan peperiksaan yang kurang baik.

Tetapi di dalam politik, kita harus berwaspada. Musuh-musuh tidak mahu melihat kita hidup aman damai dan menumpukan perhatian kepada kerja-kerja yang sebenar. Mereka mahu kita bergaduh dan bercakaran. Mereka mesti diperangi habis-habisan.

22 November 2009

Mayat Tanpa Kepala di Pantai Mercang

Mayat Tanpa Kepala Ditemui Terdampar Di Pantai Mercang

KUALA TERENGGANU: Mayat reput tanpa kepala ditemui di tepi pantai berhampiran jeti Kampung Merchang, Marang dekat sini hari semalam.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata mayat itu ditemui penduduk kampung pada kira-kira pukul 1.30 petang.

Mayat tanpa pakaian itu tidak dapat dikenalpasti jantinanya dan dipercayai telah hanyut di laut sejak beberapa hari lepas, katanya.

Beliau berkata pemeriksaan polis mendapati terdapat tatu dalam tulisan Myanmar di belakang badan mayat dan siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah.

Mayat itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk bedah siasat. BERNAMA

Amaran Hujan Peringkat Merah, Punca Banjir Besar

Petikan SinarHarian edisi Terengganu

KUALA TERENGGANU – Penduduk di negeri ini, khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah atau berhampiran sungai dinasihatkan terus berwaspada dan bersiap sedia untuk berpindah ke lokasi lebih selamat sebaik sahaja diminta berbuat demikian.

Ini berikutan Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran bahawa hujan lebat Peringkat Merah akan berlaku di seluruh negeri ini bermula petang semalam hingga Rabu ini.

:Pengarah Jabatan Meteorologi Terengganu dan Kelantan, Azemi Daud berkata, hujan tersebut boleh menyebabkan berlakunya banjir besar dan berpanjangan berbanding sebelum ini.

:Menurutnya, angin kencang dan laut bergelora kategori pertama mencapai kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam juga akan berlaku di perairan negeri ini.

“Selain itu, keadaan cuaca itu juga menyebabkan ombak di kawasan perairan negeri ini boleh mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Azemi berkata, pihaknya turut meramalkan berlakunya kenaikan paras air laut ataupun fenomena air pasang besar pada 24 November ini melibatkan kawasan Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan yang terdedah dengan banjir diminta berwaspada dan sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

ADIK ROGOL KAKAK HINGGA MENGANDUNG

UALA LUMPUR: Baru berusia 14 tahun tetapi selayaknya dia digelar ‘adik setan’ kerana tergamak merogol kakak kandungnya yang hanya setahun lebih tua.

Lebih memilukan, perbuatan jijik sumbang mahram itu bukan hanya menimbulkan perasaan trauma dan tekanan kepada mangsa tetapi pada usia yang masih mentah, dia terpaksa mengusung ‘benih’ adiknya.

Itu yang berlaku kepada Yanti, berusia 15 tahun, yang kini sarat mengandung dan hanya menanti masa untuk melahirkan anak.

Gara-gara perbuatan adik setan itu, Yanti terpaksa berjauhan daripada keluarga, malah meninggalkan alam persekolahan buat seketika.

“Sepatutnya saya menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bulan lalu tetapi terpaksa melupakannya. Saya meninggalkan buat seketika alam persekolahan sehingga anak dikandung ini lahir. “Saya benar-benar tertekan kerana pada usia muda terpaksa berdepan situasi yang tidak sepatutnya saya lalui,” kata Yanti ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Yanti, tragedi hitam itu berlaku tahun lalu dan ia berulang sehingga empat kali sebelum dia disahkan mengandung.

“Tragedi hitam itu berlaku di rumah. Ketika semua ahli keluarga tidur, adik menyusup masuk ke dalam bilik ketika saya tidur.

“Adik menekup mulut saya dan mengugut mahu mencederakan saya jika saya buat bising. Selepas itu, bagaikan dirasuk setan, saya dirogol,” katanya.

Yanti berkata, walaupun dia kakak, dia tidak mampu melawan, apatah lagi diugut akan dicederakan jika melawan.

“Kudrat saya memang tidak mampu melawan kekuatan adik ketika itu. Selepas merogol saya dia sekali lagi mengugut akan mencederakan saya, malah sanggup melakukan lebih daripada itu jika mendedahkan perbuatan terkutuknya kepada sesiapa saja, terutama ayah dan ibu.

“Begitulah yang dilakukannya ketika merogol saya. Seingat saya, empat kali dia merogol saya,” katanya.

Selepas empat kali dirogol, dia berasa tidak sihat dan lemah hinggalah kelainan pada dirinya disedari ibu bapanya.

Ibu Yanti kemudian membawanya ke klinik dan pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati dia mengandung.

“Saya menceritakan perkara sebenar kepada ibu. Pulang ke rumah, ayah dan ibu bertanya adik dan dia mengaku. Ketika itu menangis air mata darah sekalipun takkan mengubah apa yang berlaku,” katanya.

Yanti berkata, adiknya seperti tiada perasaan kerana seolah-olah tidak rasa bersalah dengan perbuatannya.

“Depan ibu dan ayah, dia menunjukkan rasa bersalah dan meminta maaf, tetapi dengan saya, dia buat seolah-olah tiada apa berlaku.

“Hubungan saya dengan dia sebelum ini biasa saja, tetapi tidaklah rapat sangat. Mungkin kerana masih terlalu mentah, dia seperti tidak rasa bersalah,” katanya.

Menurut Yanti, sukar untuk dia memberitahu punca mengapa adiknya sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Pada usia semuda itu, adik memang nakal. Bercampur dengan mat rempit dan kadangkala ponteng sekolah.

“Barangkali kerana pengaruh rakan, adik jadi ‘lebih tahu’ mengenai hal berkaitan seks sehingga dia terdorong untuk mencuba. Namun saya langsung tidak menyangka adik sanggup merogol saya,” katanya.

Yanti memberitahu, selepas disahkan hamil, ibu bapa terpaksa ‘menyembunyikannya’ di rumah seorang saudara mereka sebelum dihantar ke sebuah rumah perlindungan.

“Saya akan ada di sini (rumah perlindungan) sehingga bayi yang dikandung lahir. Selepas itu saya akan menyerahkan anak saya kepada keluarga angkat.

“Selepas ini saya mahu mulakan hidup baru. Saya mahu bersekolah semula dan belajar seperti rakan seusia yang lain,” katanya.

Ditanya adakah dia memaafkan perbuatan adiknya, Yanti berkata: “Mulanya memang saya bencikannya, tetapi lama kelamaan saya terima hakikat. Dia bukan orang lain… dia adik saya.

“Saya harap dia menyesali perbuatannya. Perkhabaran terkini yang saya dengar daripada ibu dan ayah, adik kini bersekolah di sekolah pondok. Semoga ilmu diperoleh menjadikannya adik yang soleh,” katanya.

TAZKIRAH DARI ABANG NIK ABDUH

Kami siarkan suatu peringatan yang sangat baik dari Abang Nik Abduh:

……………………………………….

Salam Kamunting,

Lebih 25 tahun kita dalam PAS hidup aman, selesa dan sentosa selepas hadirnya kepimpinan ulama. Sewajibnya kita mensyukurinya. Keselesaan kita itu telah banyak membantu kita untuk membantu masyarakat mengenali kita secara lebih dekat.

Adakah anda menjangkakan Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang menggugat kestabilan yang kita kecapi itu? Bahkan, ujian Allah tetap berlaku dan tiada siapa tahu dari daerah mana ujian itu datang. Yang pasti, ujian itu datang untuk menukar keamanan kepada perpecahan.

Dalam aman kita lena terbuai. Dalam kocakan kita sedar dan bersedia. Ertinya, ujian itu penuh hikmah. Allah menginginkan kita untuk tidak lena dan sentiasa berjaga – jaga. Siapa lena di dunia ini, dia tidak akan lena di akhirat nanti.

Semakin ujian itu sukar, semakin besarlah kesannya, baik ataupun buruk. Samada kita keluar daripadanya dengan seribu kebaikan atau jika sebaliknya, dengan seribu keburukan.

Pernahkah anda melihat atau mendengar mengenai perselisihan di antara dua kumpulan dalam agama yang mengelirukan sekali. Ditelan mati anak diluah mati ibu? Apatah di sebelah adalah Ali dan di sebelah lagi adalah Aisyah ( radiaLlahu anhuma ). Ia begitu sukar tetapi siapa dapat menjangka ujian Allah?

Yang penting anda mesti kena selamat. Duduk pada kedudukan yang selamat dan diredhaiNya.

Antaranya, 1) Anda mesti ikhlas 2) Anda mesti memohon pembabasan denganNya daripada keburukan fitnah itu 3) Anda mesti adil menilai 4) Anda mesti menjaga adab dengan Allah dan sesama makhluk 5) Anda mesti merujuk kepada sumber yang pertama 6) Anda mesti mendengar daripada semua dan mengambil yang terbaik 7 ) Anda mesti menapis daripada perkhabaran sang fasiq dan munafik 8 ) Anda mesti kepinginkan kesatuan, bukan perpecahan. 9 ) Anda jangan mengambil bahagian atau kacau daun tak tentu pasal 10) Anda jangan berkata dusta, mengejek dan menghuru harakan 11) Anda jangan nak jadi hero.

Diberitakan daripada sumber yang sahih bahawa al Ikhwanul Muslimin di Mesir juga ada kucah dan kacau hari ini. Antara sebabnya adalah dunia blog. Dunia blog hari ini adalah cukup tanpa adab seolah – olah ada lesen daripada ugama untuk tidak berakhlak dalam berblog!

Di mana – mana pun ujian mesti ada dan kena ada. Kerana Allah ada di mana – mana.

Saya melihat sesetengah ahli PAS cukup berani di dalam berblog. Malangnya, mereka hanya berani berbohong, memfitnah dan menyebar semua kata – kata manusia dan peristiwanya. Lebih malang, mereka tidak berani untuk berkata benar, apatah mengakuri pada yang benar.

Jika anda gian sangat nak menulis, menulislah yang kekal baik hingga ke lubang kubur. Yang memberkati anda dan kehidupan manusia.

Adapun isu EGM, saya yakin ianya akan selesai. Ia bukan balah orang jahil. Ia isu orang alim yang disayangi dan yang tidak ingin kecuali kebaikan untuk ummah. Justeru ia mungkin panas di awal, tetapi akan ada penyelesaian selepas ada persefahaman.

Yang payah nak selesai ialah balah orang jahil, payah nak faham apatah nak bersefahaman.

Yang saya takut ialah balah ini sengaja dipanjangkan selepas ianya disurutkan dan diredakan. Saya harap saya dan anda tidak terlibat walaupun saya tak mungkin boleh mengharapkan semua jangan terlibat.

Saya tinggalkan anda dengan sebuah ayat daripada Allah yang maha bijaksana. Hayatinya, ianya sungguh menenangkan.

“Tiadalah terjadi sebarang musibah di bumi dan tiada juga (terjadi) di dalam diri kamu sendiri kecuali ianya telah sedia termaktub di dalam kitab ( di sisi kami ) sebelum Kami lepaskannya. Sesungguhnya itu di sisi Allah adalah teramat mudah. Yang demikian adalah agar kamu tidak berduka cita di atas apa yang telah hilang daripadamu dan kamu tidak pula bersuka ria dengan apa yang kamu perolehi. Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan bermegah – megah.”  al Hadid:22,23

Janganlah terlalu gundah dan janganlah terlalu bersuka ria.