• Orang Mude Geng Kite

  • SUMBANGAN

    DPPKT mengalu-alukan sumbangan kewangan pengunjung laman ini untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti semasa DPPKT. Sumbangan yang ingin dihulurkan boleh dimasukkan ke akaun Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu, nombor akaun 13017010077298, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) cawangan Kuala Terengganu @ kirimkan wang pos ke alamat: BENDAHARI Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu Lot 129, Kampung Dusun, Kuala Ibai, 20400 Kuala Terengganu. Ingatan:Sila tulis 'Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu' sahaja pada penerima wang pos tersebut. Sumbangan yang bakal dihulurkan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih, Jazakallah....
  • Kalendar

    Mac 2009
    I S R K J S A
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    3031  
  • GERAMMM

  • Kunjungan

    • 240,019 hits
  • RSS harakah

    • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.
  • RSS Aliran

    • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.
  • RSS KeAdilan

    • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.
  • RSS MalaysiaKini

    • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.
  • Laman

  • ALBUM

  • a

  • PENAFIAN

    Blog ini adalah milik Dewan Pemuda Pas Kuala Terengganu(DPPKT). Walaubagaimanapun, isi artikel-artikel yang terkandung dalam blog ini tidak semestinya melambangkan pendirian DPPKT. Ada yang di'copy paste'kan daripada laman-laman web atau blog-blog lain apabila ada isu-isu yang sama dibincangkan, agar blog akan sentiasa meriah dengan isu semasa. Kami menerima komen atau kritikan membina dari rakan-rakan sama ada kawan mahupun lawan.
  • ALAMAT & PERHUBUNGAN

    Pejabat Dewan Pemuda Pas Kuala Terengganu Lot 126, Markaz Tarbiyyah Pas Kuala Terengganu, Kampung Kolam Kuala Ibai, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman. No Tel : 09 6178591, faks : 09 6178592, email : dppktrg@yahoo.com web : https://dppkt.wordpress.com

WASIAT KE 10 HASAN AL BANNA

Wasiat ke-10, uruskan masa dan ringkaskan tugas

Fahri Abdullah al-Masri
Sat | Mar 21, 09 | 11:08:46 pm MYT
“Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada, oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya,” demikian wasiat Hasan al-Banna yang terakhir.

Kepada setiap pendakwah atau seorang Islam yang sejati, masanya sangat penting. Mereka harus waspada selalu dengan penggunaan masa. Masa yang tidak digunakan dengan teliti akan menyebabkan kita akan menyesal tanpa kesudahan.

Ini kerana, masa yang sudah terlepas itu tidak boleh diganti lagi. Pepatah Melayu ada menyatakan, patah tumbuh hilang berganti. Tetapi, bidalan itu merujuk kepada seseorang pemimpin yang telah mati atau barang hilang yang mungkin boleh ditemukan semula atau sesuatu yang hilang dan boleh digantikan semula.

Yang tak boleh digantikan semula ialah waktu, saat, detik, dan masa. Oleh kerana masa ini sangat penting, maka setiap bangsa punya peraturan, falsafah dan pepatah yang lengkap tentang kepenggunaan waktu. Antara bangsa Asia, kita selalu mendengar bahawa bangsa Jepun menghargai waktu.

Bagaimanapun mereka maju di dunia kerana falsafah penggunaan masa itu hanya sekadar untuk memenuhi keperluan di dunia. Sedangkan, Islam menyeru umatnya agar mengguna masanya guna memenuhi keperluan di dunia dan kebutuhan di akhirat.

Pepatah Melayu menyebutkan bahawa masa itu emas. Malah emas, perak dan intan berlian sekali pun belum dapat menandingi harga emas. Kalau emas itu hilang, maka emas itu boleh dicari semula atau pun diganti dengan wang, tanah atau apa-apa pun yang ada harganya. Itulah kayu ukur yang menandakan masa itu sangat berharga.

Iaitu, jika masa telah berlalu, maka tiada suatu kuasa apa pun yang dapat menggantikannya atau mengembalikannya. Tapi, jika emas hilang, nescaya ada seribu satu jalan, kuasa yang dapat berikhtiar menggantikannya.

Waktu tidak boleh dicipta, malah alam ini tercipta oleh peredaran waktu. Tuhan menyebut bahawa alam ini tercipta dalam enam masa. Masa cuma boleh dinamakan, dipenggal, dipecahkan, dipotong sebagai hari, minggu bulan serta dinamakan Ahad, Isnin dan sebagainya. Jika ada keperluan untuk amalan rohani gelap, maka ia dinamakan Keliwon mengikut lidah Jawa.

Masa itu tidak boleh direkabentuk seperti benda-benda yang boleh dipegang. Setiap yang boleh dipegang boleh dipatahkan dengan benda lain. Pokok yang dipatahkan rantingnya boleh tumbuh semula. Kerana itu, manusia boleh berkata, yang patah itu boleh tumbuh dan yang hilang boleh berganti. Ini kerana, patah dan tumbuh itu sifat benda dan bukan sifat masa.

Malah, masa itu boleh mengancam manusia. Saidina Ali berkata, “Masa itu umpama pedang. jika kamu tidak ‘memenggalnya’, nescaya ia akan ‘memenggal’ lehermu.”

Sebenarnya yang menyebabkan masa itu berharga ialah disebabkan adanya kerja, tugas, amanah yang perlu disiapkan semasa waktu itu sedang berjalan.

Jika bukan kerana itu, maka masa itu tidak berharga. Misalnya, dengan peredaran masa, pokok perlu membesar dan ia dijual dengan masa tertentu. Sebab itulah masa untuk menunggu pokok itu membesar amat berharga.

Dalam hal ini masa disalahgunakan dalam perniagaan yang melibatkan riba. Sekiranya kita tidak dapat melunaskan hutang dalam tempoh waktu tertentu, maka bunga (riba) akan naik. Demikianlah masa disalahgunakan dalam ‘industri’ riba.

Maka Hasan al-Banna telah memulakan wasiatnya dengan menggunakan ungkapan ‘kewajipan kita’ yang bermaksud usaha dakwah kepada umat ini. Kewajipan usaha dakwah ini ada pertalian yang amat erat dengan penggunaan waktu.

Masa makin singkat dan suntuk!
Tetapi jumlah usaha dakwah itu terlalu banyak jika dibandingkan dengan jumlah peruntukan waktu yang kita ada. Di dalam peruntukan 24 jam sehari semalam, kita mungkin memerlukan 48 bentuk dan 72 jenis dakwah. Dalam kata lain, kita mungkin perlukan 2 atau 3 kali ganda program dakwah atau lebih daripada itu dalam tempoh 24 jam.

Itu maksud Hasan al-Banna; jumlah usaha dakwah perlu digembeling dalam jumlah waktu yang sungguh singkat. Masa seperti semakin pendek apabila terlalu banyak urusan dakwah yang perlu dibereskan.

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu percikan api.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Hasan al-Banna, ketika menyusun wasiatnya, beliau mungkin terkesan dengan sabda Rasulullah s.a.w ini. Bilangan manusia yang ingin melakukan perubahan ke arah kebaikan dan islah sangat kurang berbanding manusia jahat yang memperuntuk masa dan hartanya ke arah kemusnahan dunia dan tamadun ini.

Oleh itu bayangkanlah bagaimana keadaannya ketika kerja dakwah makin banyak menimbun ini terpikul atas bahu segelintir pendakwah sahaja yang inginkan kedamaian, kesejahteraan, kebaikan dan ketenangan di dunia dan akhirat.

Bantu manusia menguruskan waktunya
Barangkali.. lantaran terkesan dengan semua inilah, maka Hassan al Banna memulakan usaha dakwah di kedai-kedai makanan dan kedai-kedai kopi dan bukannya di masjid. Beliau benar-benar mahukan insan berpeleseran tanpa tujuan ini akhirnya akan faham matlamat hidupnya.

Apabila manusia itu mula faham akan falsafah dan matlamat hidup, maka akan wujud manusia yang akan menggunakan masanya dengan betul, baik dan sempurna.

Manusia yang telah mula dibangunkan kesedarannya ini akan tertanya-tanya pula tentang bagaimana seharusnya mereka mahu memanfaatkan waktunya di dunia ini sementara menunggu waktu di akhirat kelak.

Maka.. di sini Al-Banna menyarankan pendakwah agar membantu mereka yang telah terbuka hatinya untuk memahami bagaimana mereka perlu memanfaatkan waktunya untuk beribadah sementara menunggu waktu dihisab di akhirat kelak.

“Oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan kalau saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya,” demikian pesan al-Banna lagi.

Orang yang telah dilembutkan hatinya dan dilunakkan jiwanya sentiasa tertanya-tanya mengenai apakah amalan yang harus dilakukan guna mencapai redha ilahi. Soalan semacam ini kerap hinggap di ranting pertanyaan sahabat dan baginda selalu hadir bagi menjawab setiap pertanyaan tersebut.

Ghairahnya para sahabat dalam beramal sehingga mereka kerap bertanya, apakah amalan yang paling baik dan bermacam pula jawapan baginda tergantung kepada keadaan rohani para sahabat itu.

Jika dilihatnya sahabat itu menderhakai ibu bapanya maka baginda bersabda, berbuat baiklah kepada ibu bapa. Jika dilihatnya penyoal itu seorang yang panas baran, maka dia menasihatkan orang itu supaya tidak marah-marah.

Mereka yang mula lunak kepada agama tidak tahu atau terlupa tentang cara-cara menggunakan masa sebagai yang disaran di dalam al-Quran. Mungkin kerana keterbatasan dalam bahasa Arab, mereka tidak faham mesej dalam surah Al-Muzzammil.

[1] Hai orang yang berselimut! [2] Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, kecuali dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), [3] Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, [4] Atau pun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil.”

[5] (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

[6] Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. [7] (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya.

Orang yang didakwah atau mereka yang baru dinyalakan pencerahan rohani dalam dirinya, selalu hidup pelbagai ragam persoalan dalam hatinya dan menyalalah pula pelbagai rencam pertanyaan yang berwarna-warni dalam dirinya berhubung langkah-langkah awal menuju ke arah kesempurnaan hidupnya sebagai manusia terbaik.

Jadi, bagaimana mereka harus bermula? Jika ada amalan permulaan, maka apakah amalan permulaan itu?

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “Sembahyang Tahajjud” padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada akhirat di tempat terpuji.” (Al-Isra’: 79)

Adakah insan yang baru merangkak, baru melabuhkan pencarian untuk mendakap pencerahan jiwa serta akal fikirannya dapat menyelami hasrat Tuhan sebagai yang terkandung ayat-ayat al-Qur’an di atas? Mereka perlukan masa untuk dibimbing serta masa perlukan pembimbing yang sabar, teguh hati, kuat pendirian, bijaksana, berhemah tinggi yang kental spiritual.

Ringkaskan amalan untuk membantu saudara lain
Sebab itulah Al-Banna menyarankan anggota Ikhwan Muslimin atau para pendakwah meringkaskan sahaja urusan mereka untuk membantu saudara mereka yang mahu dibangkitkan kesedaran dalam jiwanya.

Bagi Al-Banna, amalan peribadi yang bertujuan menolong keperluan peribadi di akhirat, hanya bermanfaat untuk keperluan mereka sahaja. Sedangkan, usaha mengirim ilmu ke dalam dada manusia yang kosong tanpa dihuni hikmah pengetahuan sangat berguna kepada kedua-dua pihak, sama ada pihak pendakwah dan pihak yang didakwah.

Petunjuk agama menyatakan bahawa, jika ada seseorang beramal dengan sebab ajaran kita, maka pahala dengan sebab amalan itu turut mengalir ke dalam ‘akaun pahala’ kita kelak.

Sebab itu, pendakwah perlu meringkaskan dan menyedikitkan ruang untuk keperluan amalan peribadi supaya lebih banyak ruang dapat dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan dan pengajaran ke atas manusia lain yang dahagakan pengetahuan daripada mereka.

Mereka yang berkhalwat, beruzlah, dan bersuluk tanpa berusaha keras menggerakkan nurani manusia untuk mendapat imbuhan pencerahan rohani daripada Tuhan, tidak termasuk dalam jenis manusia pencerahan.

Al-Banna, Badiuzzaman Said Nursi, dan lain-lainnya adalah ulamak sufi dan bersuluk di ‘gua pertapaan’ lalu keluar ke lapangan dalam usaha memerangi amalan khurafat dalam pemerintahan manusia mustakbirin sekali gus menyinari mendung awan hitam yang membalut kegelapan hati manusia mustadh’afin.

Advertisement

Gaji Pengerusi Syabas 425 K Sebulan

(Hrkh) – Dewan Rakyat kelmarin menjadi sedikit ‘riuh’ apabila diberitahu bahawa gaji Pengerusi Syabas Tan Sri Razali Ismail sejumlah RM5.1 juta setahun.

Perkara ini diungkap kembali oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan tambahan 2009 yang dalam masa yang sama menjawab soalan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr. Lo’ Lo’ Ghazali berhubung gaji dan elaun pengurus atau pengarah GLC.

“Apa dan mengapa nak dirahsiakan gaji GLC ini? Gaji syarikat boleh dibuka. Oleh sebab itu seperti mana yang saya sebutkan tadi, keadaan di Syarikat Bekalan Air Selangor bila tanggungan begitu bila sudah naikkan beban bagi rakyat, baru kita tahu rupa-rupanya pengurusnya RM5.1 juta.

“Itu basic belum lagi elaun-elaun tambahan. Ini keterlaluan kalau dibiarkan keadaan begitu,” kata Anwar.

Sementara itu turut menarik perhatian ahli-ahli dewan ialah Zulkifli Noordin(KeADILan -Kulim Bandar Baharu) yang membuat pecahan kiraan gaji pengerusi syarikat air itu yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat.

“Saya buat ‘simple calculation’ ini. Pada gaji RM5.1 juta setahun, bermakna gaji beliau RM425,000 sebulan. Satu hari, gaji dia RM14,166… Satu jam gaji dia RM1,770. Satu minit, dia dibayar RM29.51…

Kata Zulkifli gaji beliau itu boleh membayar gaji 34 Ahli Parlimen sebulan ataupun boleh membayar 425 anggota polis dengan gaji RM1,000 sebulan.
“Bermakna lima unit FRU boleh ditanggung dengan gaji beliau… ataupun kalau bil air… RM100 sebulan, boleh membayar 4,250 rumah atau kalau bil air itu RM50, boleh bayar 8,500 sebulan,” katanya yang menyebabkan ramai ahli parlimen ketawa dan cuba mencelah.

PAK LAH, ANWAR & SYEIKH MAJZUB PART 2

Ada sumber mengatakan, dalam pertemuan di Hulu Langat itu pada 11 Mac lalu, Anwar mengutarakan isu peralihan kuasa PM kepada Najib kepada Pak Lah. Pertemuan itu berlangsung selama lebih kurang 20 minit.

PAK LAH, ANWAR & SYEIKH MAJZUB

Apa yang bermain di minda anda? Kebetulan atau sengaja dirancang? Kita tunggu apa lagi perkembangan politik tanahair selepas ini…

MEMO GMP BANTAH PPSMI

Memorandum GMP kepada Yang di-Pertuan Agong

Gerakan Mansuh PPSMI
Mon | Mar 09, 09 | 3:45:02 pm MYT
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.

Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.

MENGAPA KAMI SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI

Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:

1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius.

Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.

Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.

2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)?

Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?

3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?

4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun!

Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.

5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu.

Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.

6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan.

Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi.

Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.

7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri.

Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu.

Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.

Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.

9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.

10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai “otak” atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].

HASIL KAJIAN

11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar.

Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato� Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.

APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?

13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu ‘sudah berjaya’ atau ‘akan berjaya’, para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C).

Kalau cara yang ‘mengelat’ ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.

GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS

14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan ‘gila bahasa Melayu’. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong.

Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, ‘pendapat’ atau ‘teori’ yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu.

Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.

16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (foreign language) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V.

Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.

Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.

Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.

Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Patik sekalian yang berdatang sembah. _

SAMSENG2 UMNO PERAK

Semua pemuda yang akan ke Bukit Gantang Perak untuk bertugas dan memberi sokongan kepada Calon Pakatan Rakyat bagi Pilihanraya Kecil P 059 Bukit Gantang, hendaklah kenalpasti dan berhati2 terhadap samseng2 PEKIDA yang dipergunakan oleh Umno Barisan Nasional. DPPKT rasa hairan bagaimana mereka boleh mengggelarkan diri mereka Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islam Malaysia sedangkan tindakan tidak mencerminkan Islam?

Ingat!!!Musuh jangan dicari, tetapi kalau sudah terpaksa berdepan, jangan undur ke belakang…

HIMPUNAN BANTAH PPSMI: PETUGAS UNIT AMAL DITAHAN

Himpunan PPSMI: Seorang Unit Amal direman,7 dibebaskan! PDF Print E-mail
Tuesday, 10 March 2009
KUALA LUMPUR, 8 Mac (Hrkh) – Anggota Unit Amal, Laili Masran, 45, yang ditahan polis dalam Himpunan 100 ribu membantah PPSMI semalam dikenakan tahanan reman selama dua hari. Tujuh orang yang ditahan telah dibebaskan.Menurut peguam Zulkarnain Lokman yang mewakili Laili yang hadir di Mahkamah Jalan Duta untuk permohonan reman hari ini menyatakan Laili ditahan di bawah Seksyen 117 atas tuduhan menyertai perhimpunan haram serta menghalang penjawat awam melaksanakan tugas

Laili merupakan Anggota Unit Amal Johor dan bekerja sebagai pemandu van Pasti di Batu Pahat, Johor.

Jelas Zulkarnain yang ditemui selepas membuat permohonan reman itu, Laily ditahan di lokap Balai Polis Dang Wangi dan maksimum ditahan reman sehingga petang esok.

Menurut Zulkarnain, beliau bertanya kepada Laily sama ada pihak polis mengasarinya, Laili menyatakan terdapat benjolan di bahagian kepala akibat dipukul anggota polis dan beliau juga mengadu kesakitan di dada.

Image“Saya minta supaya pihak polis membawa beliau membuat pemeriksaan kesihatan serta membuat laporan polis berhubung kecederaan tersebut,”katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah, Kamaruzzaman Mohamad yang ditemui di lobi mahkamah turut menyeru orang ramai agar memberi sokongan terhadap ‘pembebasan’ Laily di Balai Polis Dang Wangi jam 3.30 petang esok.

Turut hadir di mahkamah ialah Setiausaha GMP, Hasni Abbas.

Dalam pada itu, Naib Presiden Antarabangsa Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz yang turut hadir di Mahkamah mengkritik sekeras-kerasnya tindakan pihak keselamatan yang dilakukan terhadap rakyat yang menghadiri perhimpunan aman tersebut.

Beliau menjelaskan, memandangkan perhimpunan anjuran GMP itu mendapat permit, pihak polis tidak sewajarnya menggunakan kekerasan terhadap mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut.

Justeru, beliau berpandangan tindakan polis yang melepaskan gas pemedih mata pancutan air terhadap rakyat yang menyertai perhimpunan adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

ImageBeliau juga melahirkan kekesalan dengan tidakan rambang pihak keselamatan yang mencederakan sebilangan besar kelompok wanita dan kanak-kanak serta orang awam yang tidak terlibat secara langsung dalam perhimpunan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap tindakan pihak polis yang menahan dua buah bas yang membawa wakil orang asli Perak dan penangkapan tanpa asas yang kukuh empat orang penyokong GMP termasuk Laili.

” Laili ditangkap hanya kerana mahu meleraikan provokasi yang dilakukan oleh pihak FRU terhadap aktivis PKPIM. Maka, PKPIM menghargai sepenuhnya tanggungjawab yang dilaksanakan beliau untuk memastikan keselamatan terkawal dan berjanji untuk memberi sokongan padu kepada beliau,”tegasnya.

Dalam pada itu, Muhamamad Faisal turut menafikan terdapat usaha untuk mempolitikkan perhimpunan aman ini dengan partisipasi langsung sebelah pihak dengan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis memohon maaf secara terbuka kepada seluruh pendukung GMP dan orang awam demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan hak-hak asasi manusia. – mks.o