KOLEKSI BERITA ISU YURAN SEKOLAH

Percaya atau tidak yuran persekolahan bukan sahaja semakin membebankan ibu bapa malah bertambah teruk lagi pelik dengan caj yuran tandas dan yuran tuala wanita pun dikenakan dalam Yuran Tahunan Sekolah !??

Betapa bercelarunya yuran persekolahan di Malaysia.  Hinggakan arahan Menteri Pelajaran sendiri dalam menetapkan paras siling yuran tahunan tidak di endahkan pihak sekolah.  Setiap sekolah boleh mengenakan yuran berbeza.  Arahan Timb. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk kajian bayaran tambahan yuran dilihat tidak membantu mengurangkan keresahan dan kemarahan rakyat yang majoriti rasa tertipu dengan pengumuman pembatalan yuran sekolah semasa pengumuman belanjawan yg lalu.  Di setengah negeri seperti dilaporkan di Perak misalnya yuran dikenakan lagi tinggi berbanding sebelum pelupusan yuran wajib RM4.50 untuk sek rendah dan RM9 untuk sek menengah.

Dimanakah silap nya ??.. Susah sangatkah bagi sebuah kerajaan dan Kementerian Pelajaran memastikan semua sekolah menetapkan jumlah yuran yang seragam seperti ditetapkan amaun maksimum atau paras siling yuran. 

Untuk silibus yang sama, untuk kurikulum dan peperiksaan yang sama, sekolah bantuan kerajaan mempunyai kadar yuran yang berbeza,..   semuanya menjerut leher ibu bapa.   Pak-pak menteri takkan berkongsi rasa kesusahan dan keperintan rakyat kerana mereka alpa dengan segala kemewahan dan privilige yg mereka terima hasil dari gaji mereka yg dibayar dari wang pembayar cukai, wang hasil rakyat.  Rakyat membayar mereka gaji,  segala kemewahan and yet in return pak-pak menteri ini hanya bercakap dan bercakap dan bercakap dan cakap mereka pun tak laku dan seumpama tong kosong,  riuhnya sekampung,  isinya kosong.  Rakyatnya pula soraknya lebih,  beban nya tanggung sendiri.  Kerana pak-pak menteri gagal membela nasib rakyat.  If that so,  jika begitu apa guna ada kerajaan ?..   Kita perlukan perubahan dan pembangunan yang membela dan menguntungkan rakyat,  bukannya cakap-cakap kosong.  Bukannya pembangunan bagi sedap mata memandang dan sedap telinga mendengar,  tetapi yang berbentuk membela nasib rakyat.

Hishamuddin telah gagal ! Kementeterian Pelajaran gagal ! dan Kerajaan juga terbukti gagal dalam membela nasib rakyat.

read thru excerpts dari beberapa keratan akhbar berkaitan yuran yg pelik dan tak masuk akal.

——————————————————————————–
Sekolah tidak boleh ambil bayaran tambahan – Hishammuddin

MACHANG 4 Jan. – Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan kepada para pegawai pelajaran daerah dan sekolah supaya memastikan bahawa dasar kerajaan yang tidak pernah mewajibkan bayaran yuran tambahan benar-benar dilaksana.

Beliau berkata, sekiranya terdapat laporan ada sekolah yang mewajibkan bayaran tambahan itu maka beliau meminta perkara tersebut dilaporkan terus kepadanya.

Paras siling atau amaun maksimum bayaran bagi sekolah rendah ialah RM38.50 manakala sekolah menengah RM55.50 yang dikenakan antaranya untuk aktiviti kokurikulum, sukan tahunan, kertas ujian dalaman, kegiatan pendidikan Islam dan Moral selain Skim Perlindungan Diri.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm 

——————————————————————————–
Yuran tambahan tidak boleh lebih paras siling

SEREMBAN 3 Jan. – Pihak sekolah tidak boleh mengutip bayaran tambahan melebihi paras siling yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran iaitu RM38.50 untuk sekolah rendah dan RM55.50 untuk sekolah menengah, melainkan mendapat persetujuan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim menjelaskan, bayaran yang diminta oleh pihak sekolah pada masa ini bukan yuran persekolahan kerana yuran sebanyak RM4.50 untuk sekolah rendah dan RM9 untuk sekolah menengah telah dihapuskan

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_04.htm

——————————————————————————–
Sekolah kenakan yuran tandas

JOHOR BAHRU 3 Jan. – Biasanya orang ramai yang ingin melepaskan ‘hajat’ di tandas awam dikenakan bayaran, namun lain pula ceritanya di sebuah sekolah menengah di Permas Jaya di sini yang turut mengenakan yuran penyelenggaraan tandas kepada pelajarnya.

Walaupun amaun sebanyak RM5 sahaja dikenakan, namun tindakan pengurusan sekolah tersebut menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ibu bapa.

Seorang bapa yang hanya ingin dikenali sebagai Abdullah mengakui terkejut apabila dikenakan yuran berkenaan selain yuran tambahan dan pelbagai semasa membayar yuran persekolahan anak sulungnya yang menuntut di tingkatan dua sekolah tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_06.htm

——————————————————————————–
Pulangkan yuran tandas

JOHOR BAHRU 4 Jan. – Sebuah sekolah menengah di Permas Jaya di sini telah diarah memulangkan semula yuran penyelenggaraan tandas sebanyak RM5 yang dikenakan ke atas para pelajarnya pada Isnin ini.

Pengarah Pelajaran Johor, Mokhy Saidon berkata, ini kerana pelajar tidak sewajarnya dikenakan yuran tersebut kerana kos penyelenggaraan tandas merupakan tanggungjawab sekolah menerusi peruntukan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm 

——————————————————————————–
Yuran tuala wanita pula

SUNGAI BULOH – Kalau di Johor, yuran tandas dikenakan, di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rahman Putra di sini pula mengenakan caj tuala wanita.

Percaya atau tidak, bayaran sebanyak RM26 setahun itu dikenakan dan ia termasuk di dalam caj keseluruhan yang berjumlah RM112.50 bagi setiap pelajar perempuan yang mendaftar bagi tingkatan satu.

Bagaimanapun, apa yang menimbulkan kehairanan, caj tuala wanita itu tidak disenaraikan dalam senarai pakej yang diberikan kepada ibu bapa sebelum itu.

Malah resit yuran tuala wanita itu juga diberi secara berasingan daripada resit yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) dan yuran sekolah.

Seorang suri rumah, Rahimah Abnu Hajar, 37, berkata, bayaran itu hanya disedarinya ketika diminta oleh guru di sekolah terbabit ketika membuat bayaran pada hari pendaftaran anak keduanya di sekolah berkenaan, kelmarin.

“Saya berasa pelik apabila cikgu kata RM26 itu untuk tuala wanita sedangkan keperluan itu sememangnya disediakan oleh ibu atau pelajar sendiri.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

——————————————————————————–
Wajib sumbang PIBG RM145 di SK Taman Tun Dr. Ismail

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Ibu bapa hari ini mempertikai bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mencecah sampai RM145 untuk setiap orang anak.

Ibu bapa yang menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 (SK TTDI 1), di sini terkejut apabila bayaran tersebut merangkumi yuran PIBG sebanyak RM40, bayaran dewan RM15, bayaran penyelenggaraan sekolah RM20 dan bayaran komputer RM70.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekolah tersebut mendapati ramai ibu bapa merasa terbeban dengan keputusan pihak sekolah membenarkan kutipan yuran untuk tabung PIBG sebanyak RM145 itu.

Shazlin Abdullah, 38, berkata, dia terperanjat apabila melihat jumlah yuran PIBG yang terlalu tinggi daripada catatan keseluruhan yuran tambahan sekolah untuk anaknya.

Katanya, setelah digabungkan dengan yuran-yuran lain seperti yuran pelbagai, yuran peperiksaan dan yuran kelas tambahan, beliau terpaksa membayar jumlah keseluruhan RM450 untuk seorang anak.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm
 

——————————————————————————–
Ibu bapa keliru bayaran tambahan sekolah

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Pemansuhan yuran sekolah rendah dan menengah yang berkuat kuasa serentak dengan bermulanya sesi persekolahan 2008, masih menimbulkan kekeliruan di kalangan ibu bapa.

Ini kerana mereka yang menyangka hanya perlu membayar sejumlah amaun yang kecil terkejut apabila dikenakan caj tambahan mencecah RM100.

Bayaran tambahan tersebut termasuk yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), insurans, kokurikulum dan sukan, melebihi had ditetapkan dalam pekeliling mengenai garis panduan harga siling bayaran tambahan yang diedarkan ke semua sekolah oleh Kementerian Pelajaran, Oktober lalu.

Di KELANTAN, golongan ibu bapa mengeluh apabila terpaksa menanggung bayaran tambahan persekolahan yang mencecah sehingga RM180 sedangkan caj maksimum yang ditetapkan kementerian ialah RM38.50 bagi sekolah rendah dan RM55.50 bagi sekolah menengah.

Mereka mendakwa ada sekolah yang mewajibkan pembelian tudung, alat tulis dan keperluan lain yang tidak tersenarai dalam garis panduan selain bayaran Internet, latih tubi, nota amali sains, baju sukan, buku log dan kertas soalan.

Di PERAK, hal yang sama berlaku apabila pelaksanaan langkah baru itu tidak membawa sebarang kesan sebaliknya kadar bayaran yang dikenakan pihak sekolah adalah lebih tinggi berbanding tahun lepas.

Tinjauan Utusan Malaysia ke Sekolah Kebangsaan Seri Ampang mendapati, kadar yang dikenakan bagi murid tahun satu hingga enam ialah dari RM149.60 hingga RM166.20 seorang.

Di TERENGGANU, bayaran yang perlu ditanggung ibu bapa mencecah RM105.95 bagi sekolah rendah dan RM87.50 untuk sekolah menengah, yang turut melibatkan yuran tahunan PIBG.

Di PERLIS pula, kadar bayaran tambahan bagi murid tahun mencecah sehingga RM116.80.

Bayaran itu termasuk derma PIBG sebanyak RM20 selain yuran khas, keperluan pelajar, buku kerja dan alat tulis.
Di PAHANG, ibu bapa tidak dipaksa membayar yuran PIBG namun mereka digalakkan menyumbang kepada tabung PIBG.

Tinjauan di sekolah-sekolah juga mendapati tiga pakej ditawarkan melibatkan yuran kelas intensif, keahlian koperasi, insurans dan sukan berjumlah antara RM23.50 hingga RM38.50 bagi sekolah rendah manakala sekolah menengah pula antara RM23.50 hingga RM55.50.

Di PULAU PINANG, bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM80 meliputi baju sukan, tanda nama bersulam, yuran PIBG dan keceriaan tanpa melibatkan lain-lain kos.
Di JOHOR, kadar bayaran persekolahan yang dikenakan juga rendah malah serata bagi murid-murid tahap satu iaitu RM30.50.

Murid-murid tahun empat hingga enam pula dikenakan bayaran antara RM24.30 hingga RM73.20.

Begitu juga di SARAWAK, bayaran tambahan sekolah di kawasan pedalaman hanya sekitar RM9.50 membabitkan sukan RM2, insurans (RM1.50) dan peperiksaan dalaman (RM6).

Di SABAH, kadar bayaran persekolahan juga agak rendah iaitu sekitar RM38 hingga RM45 bagi sekolah rendah dan RM70 untuk sekolah menengah.

Kementerian Pelajaran pada 30 Oktober lalu mengeluarkan pekeliling mengenai garis panduan amaun maksimum atau siling yang boleh dikutip daripada ibu bapa.

Amaun maksimum bayaran tambahan bagi sekolah rendah ialah RM38.50 manakala bagi sekolah menengah pula ialah RM55.50.

Bayaran tambahan itu digunakan untuk tujuan kokurikulum, sukan tahunan sekolah, kertas ujian dalaman, kegiatan pendidikan Islam dan Moral dan Skim Perlindungan Diri.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_06.htm

——————————————————————————–
Bayaran tambahan dikaji — Bagi kurangkan beban ibu bapa tanggung belanja sekolah – Najib

Oleh: AZRAN FITRI RAHIM
BUKAN HALANGAN…Walaupun masih tidak mempunyai pakaian sekolah yang lengkap, Nurhidayah Mohd. Zaini pelajar baru tahun satu di S.K Temai, Pekan, Pahang tetap bersemangat memulakan sesi pembelajaran hari pertama dengan memperkenalkan dirinya kepada rakan-rakan baru dan guru sekolah. Menurut Nurhidayah, bapanya belum sempat membeli pakaian sekolah baru kerana kampungnya baru lepas dilanda banjir dan keluarganya masih sibuk mengemaskan rumah lagi. – Gambar MAHATHIR ALI.

——————————————————————————–
 
KOTA BHARU 3 Jan. – Prihatin dengan rungutan ibu bapa mengenai bayaran tambahan di sesetengah sekolah yang tinggi sehingga melebihi had siling ditetapkan, kerajaan hari ini bertindak segera untuk mengkaji semula kadar tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malah berkata, kerajaan bersedia mengurangkan kadar bayaran tambahan itu termasuk yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang didakwa membebankan.

Menurut beliau, walaupun yuran persekolahan dan peperiksaan dihapuskan, kerajaan sedar ramai ibu bapa masih terbeban dengan bayaran tambahan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

”Yuran peperiksaan dan persekolahan telah kita mansuhkan tetapi ada sedikit bayaran PIBG dan bayaran lain yang dikenakan.

”Kita nak tengok juga bayaran (tambahan) ini, kita tidak mahulah kena bayar banyak sangat. Jangan dikenakan bayaran berlebihan kepada ibu bapa yang tidak mampu,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga pendidik Kelantan di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebilangan ibu bapa mengeluh kerana bayaran tambahan yang dikenakan oleh sesetengah sekolah masih tinggi walaupun kerajaan telah memansuhkan yuran persekolahan iaitu RM4.50 bagi sekolah rendah dan RM9 bagi sekolah menengah.

Caj tambahan ini yang meliputi yuran PIBG, bayaran insurans, kokurikulum, sukan, majalah sekolah, kawalan keselamatan dan sebagainya menyebabkan kadar yang perlu dibayar bagi setiap murid atau pelajar ada yang mencecah RM100.

Di Kelantan, ramai ibu bapa mendakwa terbeban apabila terpaksa menanggung bayaran tambahan persekolahan sehingga RM180.

Mereka mendakwa ada sekolah yang mewajibkan pembelian tudung, alat tulis dan keperluan lain yang tidak tersenarai dalam pakej bayaran tambahan yang ditetapkan.

Kementerian Pelajaran pada 30 Oktober lalu mengeluarkan pekeliling garis panduan pakej bayaran tambahan sekolah yang boleh dikutip daripada ibu bapa.

Amaun maksimum atau siling bagi sekolah rendah RM38.50 manakala sekolah menengah RM55.50 meliputi bayaran kokurikulum, sukan tahunan sekolah, kertas ujian dalaman, kegiatan pendidikan Islam dan Moral serta Skim Perlindungan Diri.

Penetapan pakej bayaran tambahan itu bagaimanapun menimbulkan rungutan ibu bapa termasuk di Kedah yang mendakwa kadar yang perlu dibayar tahun ini lebih tinggi berbanding sebelum yuran persekolahan dimansuhkan tahun lepas.

Mengulas lanjut, Najib berkata, tindakan kerajaan memansuhkan yuran persekolahan dan semua yuran peperiksaan utama bertujuan mencapai agenda memastikan rakyat mendapat pendidikan sewajarnya sekali gus meningkatkan kualiti modal insan.

“Bagi saya semua orang perlu mendapat pendidikan dan tidak ada sebab soal kemiskinan menjadi penghalang untuk belajar.

“Dalam belanjawan skim buku teks diberikan percuma kepada semua dan lepas itu, kita beri pula wang untuk pelajar-pelajar miskin, saya tidak fikir ada negara yang melakukan demokrasi pendidikan seperti kita,” katanya.

Katanya, bidang pendidikan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan ia dibuktikan melalui belanjawan yang dibentangkan sejak Rancangan Malaysia Pertama.

Beliau berkata, ia terbukti apabila tiada bidang lain menerima dana sebesar bidang pendidikan.

Katanya, proses pendidikan negara perlu terus dihidupkan dan melalui proses perubahan supaya ia terus berkembang.

“Reformasi pendidikan bermula semasa saya Menteri Pelajaran sebab kita nak bidang pendidikan sentiasa relevan dan berubah ikut zaman.

“Kalau zaman menuntut perubahan dinamik maka bidang pendidikan perlu berubah mengikut zaman sekarang. Kalau tak masukkan unsur lebih dinamik maka kita akan ketinggalan dan kehilangan apa yang disebutkan sebagai sebuah negara bangsa,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
 

——————————————————————————–

Selaras yuran tambahan – CAP

TAHUN lalu, CAP telah mengalu-alukan pengumuman oleh Kementerian Pelajaran iaitu pemansuhan yuran asas sekolah serta pemberian buku teks kepada semua pelajar sekolah secara percuma.

Namun begitu, tanggungan beban di kalangan ibu bapa sewaktu pembukaan sesi persekolahan yang baru ini bertambah disebabkan oleh yuran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah yang pada dasarnya lebih tinggi daripada yuran asas ini.

Yuran tambahan ini dikenakan dalam pelbagai bentuk seperti yuran kelas motivasi, kursus komputer dan juga yuran untuk aktiviti-aktiviti kokurikulum.

Walaupun penggunaan buku kerja telah diharamkan kepada murid-murid sekolah rendah tetapi mereka masih perlu membeli buku aktiviti ataupun buku-buku tambahan yang lain.

Ibu bapa pula terpaksa berhadapan dengan kos tinggi pembelian pakaian seragam sekolah, beg sekolah, buku-buku latihan dan tambang pengangkutan ke sekolah.

Masalah ini bertambah teruk apabila ibu bapa terpaksa menanggung lebih daripada seorang anak yang bersekolah pada satu-satu masa.

Yuran tambahan ini kini di bawah budi bicara lembaga pengurusan sekolah serta di bawah bidang kuasa jabatan pelajaran negeri.

CAP menggesa Kementerian Pelajaran untuk mengambil langkah segera bagi mengawal secara langsung yuran tambahan di semua sekolah di negara ini. Yuran tambahan perlu diselaraskan dengan seragam oleh pihak sekolah dan dijelaskan kepada ibu bapa tujuan yuran tambahan dikenakan setiap kali sesi persekolahan.

CAP juga menggesa Kementerian Pelajaran untuk melarang tindakan pihak sekolah menawarkan perkhidmatan pilihan kepada pelajar sekolah seperti yuran kelas komputer.

Kanak-kanak seharusnya mempunyai hak untuk menikmati segala perkhidmatan yang ditawarkan di sekolah bantuan penuh kerajaan.

Bagi ibu bapa yang memiliki keupayaan dari segi kewangan, mereka boleh menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan program pendidikan tambahan di sekolah-sekolah awam.

– SM MOHAMED IDRIS

Presiden,

Persatuan Pengguna,

Pulau Pinang.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

Advertisements

Satu Respons

  1. orang melayu kena bersatu, baru kita boleh berjaya.melayu boleh.sapa kata tak boleh.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: