TAQWA SEBAGAI ASAS IMAN

HADIS KE 18 DARIPADA HADIS 40 IMAM NAWAWI

Maksudnya:

Daripada Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu’az bin Jabal radhiallahu anhuma, berkata, sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

“Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Dan ikutilah kejahatan yang telah kamu lakukan dengan kebaikan nescaya menghapuskannya. Dan bergaullah dengan manusia dengan perangai yang baik.

(Riwayat Tirmizi )

1.BERTAQWA KEPADA ALLAH DI MANA SAHAJA BERADA

Taqwa berasal daripada perkataan wiqayah yang bererti benteng. Pada syarak, ia membawa erti melaksanakan yang wajib dan meninggalkan segala larangan. Ulama salaf mendefinisikan taqwa sebagai taatkan Allah tidak mendurhakaiNya; mengingatiNya tidak melupaiNya, dan mensyukuriNya tidak kufur kepadaNya.

Tuntutan agar bertaqwa itu hendaklah dilaksanakan di mana sahaja kita berada, tidak kira sama ada berseorangan mahupun ramai.

Fadhilat bertaqwa banyak disebut dalam al Qur’an. Antaranya ialah ; dapat membebaskan diri dari neraka, menempatkannya dalam syurga, membaiki amal serta menghapuskan dosa, untuk mencapai kemenangan dan kejayaan, untuk mendapat perlindungan daripada musuh, dan untuk melepaskan diri dari kepayahan serta mendapat rezeki yang halal. Contoh yang terkenal ialah dalam firman Allah yang bermaksud; “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah , nescaya Allah menjadikan baginya satu jalan keluar, dan memberinya rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangka.” (Surah at Talaq: ayat 2-3)

2.IKUTILAH KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN

Manusia tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan, ialah yang menyesali perbuatannya sebagaimana sabda nabi yang bermaksud : “Manusia itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah yang bertaubat”. Kata Imam Nawawi dalam kitab yang lain, Taubat daripada dosa itu wajib. Taubat itu sendiri sebahagian daripada kebaikan. Maka, kebaikan taubat itu boleh menghapuskan kejahatan dosa kita yang lalu.

Adapun kejahatan yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah dosa-dosa kecil , dam kebaikan yang dikatakan dapat menghapuskannya ialah seperti berwudhu’, solat, dan lain-lain amal kebaikan yang disukai agama. Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya segala kebaikan dapat menghapuskan segala kejahatan”.(surah Hud:ayat 114).

3.BERGAULLAH DENGAN MANUSIA DENGAN PERANGAI YANG BAIK

Selepas berbicara tentang taqwa dan amal kebaikan, Rasulullah menyebut tentang perangai yang baik. Ini kerana perangai yang baik merupakan pelengkap kepada kesempurnaan taqwa seseorang. Seseorang yang bertaqwa kepada Allah hendaklah menjaga hubungannya dengan manusia. Menjaga hubungan dengan manusia pula tidak dapat disempurnakan melainkan dengan berakhlak mulia, bersopan santun, dan berkasih sayang sesama manusia.

Nabi sallallahu alaihi wasallam pernah bersabda: “Hanyasanya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.”

4.PETUNJUK HADIS

Hadis ini mengandungi tiga hukum iaitu:

i)Hak Allah: bertaqwa kepadaNya

ii)Hak Mukallaf: menghapuskan dosa yang telah dilakukan

iii)Hak Hamba: menjaga hubungan sesama manusia dengan berakhlak mulia.

Maka, orang yang benar-benar bertaqwa ialah orang yang menjaga kesemua tuntutan ini.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: